Masjid Al-I'tisam

Masjid Al-I'tisam




Sejarah Masjid Al-I'tisam



Masjid Al-I’tisam TTDI Jaya, Shah Alam telah mula beroperasi sejak tahun 1997 yang asalnya hanyalah sebuah surau yang kemudiannya dinaiktaraf menjadi sebuah masjid sehingga kini. Masjid ini bukan sahaja menjadi tumpuan untuk aktiviti khusus berkaitan ibadah umat Islam, malahan ia menjadi pusat penyebaran ilmu, maahad tahfiz, kelas Al-Quran, kelas asas fardu ain (KAFA) dan pelbagai program untuk anak kariah setempat.

Dengan kepadatan penduduk seramai lebih 12,000 ribu orang serta kepesatan pembangunan di kawasan berhampiran, masjid ini sudah tidak lagi mampu menampung ahli jemaah untuk solat dengan selesa. Ruang tambahan terbuka yang berbumbung zink dan khemah sementara telah didirikan untuk menampung kebanjiran ahli jemaah terutamanya ketika hari Jumaat dan bulan Ramadan.

Atas kesedaran tentang keperluan mendesak untuk menyediakan ruang solat yang lebih besar dan selesa, AJK masjid telah merancang pembinaan masjid baru sejak sekian lama dan pada bulan Mac 2010 telah dilancarkan pembangunan sebuah kompleks masjid baru yang akan menyediakan kemudahan yang serba lengkap.

Namun begitu, kekangan kewangan dan ketiadaan peruntukan daripada pihak berkuasa, pihak AJK Masjid Al-I’tisam telah mengambil inisiatif untuk menggerakkan rancangan pembangunan ini dengan menukar kepada pembesaran berfasa.

Sejak pembangunan fizikal projek pembesaran ini berlangsung bermula Oktober 2015, kita dapat menyaksikan banyak perubahan demi perubahan yang berlaku bagi menyempurnakan matlamat serta cita-cita seluruh ahli kariah khususnya, serta umat Islam amnya yang akan menjurus kepada mengisi ruang-ruang bagi menyempurnakan syiar dan syariat Islam di dalam kariah kita ini.

Harapan yang tinggi untuk menyaksikan masjid ini menjadi teras perkembangan kepada empat (4) aktiviti utama iaitu sebagai wadah menunaikan ibadah, pusat pendidikan, pusat aktiviti kebajikan serta pusat aktiviti muamalah bagi seluruh umat Islam kariah ini. Hasrat jangka panjang pihak masjid agar masjid ini hidup atau diimarahkan atas muafakat seluruh umat Islam, dengan menghidupkan terus amalan sedekah, wakaf, infaq dan sebagainya agar ia menjadi saksi hati kita semua yang sentiasa berganding dengan masjid.

"Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorangpun di dalamnya di samping (menyembah) Allah." (QS Al-Jin :18)


Masjid Al-I'tisam