Masjid Al-I'tisam

Maikoop - Sejarah Maikoop






Pegawai dan AJK Masjid Sesi 2013/15 telah berjaya menubuhkan MAIKOOP dibawah galakan ANGKASA dan JAIS untuk memperkasakan ekonomi dan jaringan ekonomi ummah. MAIKOOP telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan merupakan usahasama ahli kariah dengan masjid. Penubuhan ini bertujuan untuk membantu Lajnah Ekonomi meningkatkan kemampuan ahli kariah dan masjid untuk:-

1. Mengembangkan aktiviti perniagaan di masjid.
    2. Mendapatkan peluang latihan, jaringan perniagaan yang lebih tersusun.
    3. Memperolehi pembiayaan perniagaan dari pihak SKM / bank berskala besar.
    4. Memupuk budaya perniagaan berlandaskan syariah.
    5. Menambah jumlah dan mutu perniagaan orang-orang Islam di Malaysia.

Buat masa ini MAIKOOP masih kecil dimana hanya mempunyai 59 orang ahli berdaftar dengan modal berbayar sebanyak RM 58,000. Diantara aktiviti Lajnah Ekonomi bersama MAIKOOP adalah seperti berikut:-

PENGURUSAN SEWA PREMIS PERNIAGAAN MASJID

Lajnah Ekonomi telah melantik MAIKOOP, menguruselia premis-premis perniagaan yang terdapat di masjid. Pengembangan perniagaan di masjid sekarang agak terbantut sedikit kerana kerja-kerja pembesaran. Berikut adalah perkembangan premis-premis yang diseliakan:-

TAPAK BASUH KERETA

MAIKOOP dengan persetujuan masjid telah menerima tawaran pihak pengusaha untuk menaik taraf premis basuh kereta sejajar dengan bangunan baru masjid. Apabila selesai menaiktraf kemudahan tersebut, pihak pengusaha bersetuju untuk membayar kadar sewa baru iaitu RM 3,500 dari RM 1,600 sebulan. Masjid juga telah bersetuju untuk memotong dari kadar sewa sebanyak RM 1,900 sebulan selama setahun untuk membayar kos menaiktaraf kemudahan ini lebih kurang RM 22,000. Buat masa ini masjid masih berharap untuk mendapat kelulusan JAIS bagi memohon lesen perniagaan sementara dari MBSA.

KEDAI GUNTING RAMBUT

MAIKOOP telah berjaya mendapatkan kadar sewa yang lebih tinggi dari pengusaha yang baru. Setakat ini, ada pengusaha berbangsa Melayu yang berminat. Dimasa depan, kedai gunting rambut perlu dipindahkan ke tempat baru kerana premis sekarang akan terlibat dengan pembesaran masjid dan bangunan tahfiz. Khidmat gunting rambut ini perlu dikekalkan kerana amat digemari oleh ahli kariah masjid terutama ibu-ibu yang mempunyai anak yang masih kecil.

DISPENSER AIR BERSIH

Setakat ini terdapat dua (2) buah dispenser air bersih diletakkan diluar pagar masjid untuk kegunaan ahli kariah. Pihak pengusaha selalu membayar masjid RM 160 sebulan bergantung kepada kegunaan air. Tapak baru perlu dicari apabila pembesaran masjid siap nanti.

KEDAI / KIOSK MAIKOOP

MAIKOOP telah menubuh dan mengusahakan sebuah kedai atau kiosk jualan barangan / khidmat yang asas untuk ahli kariah terutama kepada pelajar-pelajar yang datang ke masjid. Konsep kedai MAIKOOP lebih mirip kepada kedai kecil 7-11. Seperti kedai koperasi ditempat-tempat lain, perkembangan kedai agak perlahan sejak sesi 2013/2015 lalu, tetapi kini, mula bergerak aktif sedikit. Dengan perlantikan seorang penyelia kedai yang memegang Diploma Keusahawanan untuk menyelia kedai ini, MAIKOOP berharap kedai ini akan dapat dimajukan segera untuk menjadi platform penyatuan ahli-ahli koperasi / kariah dan mampu memperkenalkan MAIKOOP kepada jaringan perniagaan yang lebih besar.

Hasil pertumbuhan ekonomi yang baik, MAIKOOP cuba mengorak langkah dengan menawarkan perkhidmatan sewaan kepada khidmat cucian kereta dan kedai gunting rambut. Sehingga kini MAIKOOP telah mempelbagaikan aktiviti perniagaan. Pada tahun 2018 ini, MAIKOOP telah membuka Kiosk MAIKOOP untuk menambahkan pelanggan ke MAIKOOP. Aktiviti Kiosk MAIKOOP terdiri daripada jualan burger dan air teh ais serta jagung. Ini adalah inisiatif pengurusan MAIKOOP yang proaktif dan bijak merebut peluang demi kelangsungan ekonomi MAIKOOP itu sendiri.

Masjid Al-I'tisam