Masjid Al-I'tisam

Pembesaran Masjid - Seminar Wakaf Nusantara 2018





Pada 25 Julai 2018, seramai tiga orang wakil Masjid Al-I’tisam telah menghadiri Seminar Wakaf Nusantara 2018, bertempat di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. Seminar dianjurkan oleh Koperasi Pegawai-Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KOPDBKL).

Seminar sehari ini diadakan dengan tujuan memupuk kesedaran berwakaf, menambah kesedaran pentingnya wakaf dalam menyuburkan ekonomi ummah dan juga untuk mengimarahkan pembangunan wakaf di Malaysia. Sementara itu, pihak Masjid Al-I’tisam menghantar wakil dengan tujuan mendapatkan lebih banyak pendedahan dan pengetahuan tentang wakaf dan peluang yang boleh pihak Masjid terokai melalui dana wakaf.

Menurut Mazhab Shafie, ‘WAKAF’ dimaksudkan sebagai menahan sesuatu harta yang boleh diambil manfaat daripadanya dengan dikekalkan ‘ayn’ (fizikal) harta itu dengan memutuskan hak pengurusan yang dimiliki oleh pewakaf dan hasilnya digunakan untuk tujuan kebajikan dengan matlamat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Wakaf merupakan instrumen penting yang berpotensi besar menjana ekonomi umat Islam di seluruh dunia. Namun begitu, persepsi masyarakat yang mengaitkan wakaf hanya dengan tanah, rumah, kubur dan masjid, perlu diperbetulkan sedikit demi sedikit. Instrumen wakaf boleh diaplikasikan dalam apa jua bidang asalkan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Semenjak Khalifah Abbasiyah (754–1258M) hinggalah Khalifah Uthmaniah (1299–1924M), wakaf telah berjaya dibangunkan dengan pesatnya dalam pembinaan sekolah, perpustakaan dan universiti yang kemudiannya telah melahirkan ramai sarjana Islam.

Satu contoh hasil daripada instrumen wakaf ialah Universiti Al-Azhar, Mesir yang dibangunkan secara wakaf dan masih wujud hingga kini. Sejarah juga telah menyaksikan pembinaan Masjid Nabawi (Madinah), Masjid Mansor (Baghdad) dan Masjid Umawi di Syria berasaskan wakaf. Jadi tidak mustahil Masjid Al-I’tisam TTDI Jaya juga sedang dibangunkan dengan sebahagian besar menggunakan wang wakaf yang disalurkan oleh penderma budiman. Segala kos kontraktor pembinaan Masjid Al-I’tisam, dibiayai sepenuhnya oleh dana wakaf yang diuruskan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).

Setelah siap sepenuhnya Masjid Al-I’tisam ini nanti, tidak mustahil kita boleh meneruskan wakaf ini untuk menceburi bidang yang lain pula, demi kebaikan penduduk setempat dan umat Islam amnya. Apa yang penting ialah pewakaf menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada pengurusan Masjid untuk mengurus dan menjayakan instrumen wakaf ini. Di Malaysia, instrumen wakaf banyak dipelopori oleh universiti-universiti tempatan.

Dalil Al-Quran berkaitan wakaf:



Kamu tidak sekali-kali sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
(Al-Quran, Ali-Imran: 92)

Masjid Al-I'tisam