Masjid Al-I'tisam

Pembesaran Masjid - Pertandingan Muazzin





Masjid Al-I’tisam buat julung kalinya telah menganjurkan Program Pertandingan Muazzin Piala Masjid Al-I’tisam pada 9 Julai 2017 bertempat di Masjid Al-I’tisam. Matlamat dan objektif program ini adalah bagi mempromosi dan mencari dana untuk Projek Pembesaran Masjid Al-I’tisam.

Pada tahun 2017, sebanyak 33 penyertaan daripada 14 buah masjid dan 8 buah surau telah menyertai pertandingan ini yang mana terbahagi kepada dua kategori iaitu remaja dan dewasa. Pertandingan ini bermula dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi. Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada anak kariah dan juga masyarakat dari luar kawasan. Salah satu daripada objektif program ini juga adalah untuk mencari bakat-bakat baru muazzin. Selain daripada kelunakan alunan azan yang diperdengarkan, ia juga turut menjadi medan pertemuan masyarakat untuk saling berinteraksi dan mengeratkan hubungan silaturahim.

Pada tahun 2017, kategori Remaja telah dijuarai oleh Syed Muhammad Hafizzudin bin Syed Ismail, wakil dari Masjid Al-Munawwarah Seksyen 27 manakala juara kategori dewasa telah disandang oleh Muhammad Sharafi bin Ishak, wakil daripada Masjid An-Nur USJ 4. Piala pusingan Pertandingan Muazzin Piala Masjid Al-I’tisam pula telah diberikan kepada Masjid An-Nur USJ 4. Ini bermakna Masjid An-Nur USJ 4 telah memenangi Pertandingan Muazzin Piala Masjid Al-I’tisam 2017 secara keseluruhan. InsyaAllah Pertandingan Muazzin ini akan diteruskan lagi pada tahun 2018 ini, dan seterusnya pada tahun-tahun akan datang juga.

Masjid Al-I'tisam