Masjid Al-I'tisam

Masjid Al-I'tisam - Aktiviti Masjid




Program Berkhatan Beramai-ramai Masjid Al-I'tisam


Masjid Al-I’tisam - Seramai 23 orang kanak-kanak telah menyertai Program Berkhatan Beramai-ramai Masjid Al-I’tisam. Program ini diadakan pada 17 Rabiatulawal 1440H bersamaan 25 November 2018. Menggunakan teknik terkini iaitu secara ‘smart clamp’, program tersebut telah bermula seawal jam 8 : 30 pagi.

Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh penganjur majlis, kemudian para ibu bapa dan anak-anak peserta bersarapan dan diadakan solat hajat bagi kelancaran program dan kesihatan anak-anak peserta. Program begitu terasa kemeriahannya apabila berganjak ke acara yang dinanti-nantikan oleh anak-anak peserta iaitu dimandikan dengan pancuran air dari pili bomba menerusi jentera bomba.

Senyuman dan kegembiraan anak-anak, ditambah lagi dengan warna-warni pakaian anak-anak yang masing-masing mengenakan baju melayu menggambarkan kemeriahan program pada hari tersebut. Proses berkhatan diadakan di bilik muslimah Masjid Al-I’tisam.

Sementara menanti giliran, anak-anak peserta menunggu di bilik mesyuarat sambil dihidangkan dengan tayangan kartun bagi menghiburkan hati mereka. Program ini bukan sahaja mendapat sambutan, malah kerjasama yang begitu baik daripada ibu bapa atau penjaga para peserta. Justeru pihak masjid merakamkan jutaan terima kasih atas sambutan dan kerjasama yang diberikan.

Masjid Al-I'tisam