Masjid Al-I'tisam

Masjid Al-I'tisam - Aktiviti Masjid




alt text

Daurah Perdana 1.0

Pada 27hb Januari 2018 bersamaan 10 Jamadil Awal 1439H, Daurah Perdana Masjid Al-I’tisam dibimbing oleh Ustaz Umar Muhammad Noor telah berlangsung dengan jayanya. Program daurah mengupas secara mendalam kitab 40 Hadith Qudsi hasil tulisan Mullā ‘Ali al-Qārī, seorang ulama’ hadith. Nama sebenar beliau ialah Nur Al-Din Ali bin Sultan Muhammad Al-Harawi Al-Makki Al-Hanafi. Dan terkenal dengan panggilan Al-Qari (القاري) kerana beliau merupakan seorang yang pakar lagi alim dalam bidang Al-Quran dan juga Qiraat.

Ustaz Umar Muhammad Noor merupakan seorang pengkaji hadith dan penterjemah kepada kitab tersebut. Hadis Qudsi adalah makna firman Allah yang diriwayatkan oleh Nabi dengan lafaz milik baginda. Ia sering berbincang tentang aspek-aspek spritual dan pembersihan jiwa seperti reda, sabar, qanaah, zuhud dan tawakkal untuk mengubati jiwa manusia moden yang menderita pelbagai penyakit seperti stress, kemurungan dan kebimbangan.

Antara hadith penting dalam kitab 40 Hadith Qudsi ialah: Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah SAW bersabda: Allah berfirman: “Kasih sayang-Ku telah mendahului kemurkaan-Ku”. Walaupun seseorang hambaNya bergelumang dengan dosa tetapi ingin bertaubat, tetap Dia ampunkan atas rahmat dan kasih sayangNya.

Daurah mendapat sambutan hangat dengan kehadiran 95 orang peserta termasuk asnaf-asnaf dan pelajar-pelajar tahfiz. Program bermula sekitar 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 4.30 petang.

Masjid Al-I'tisam